MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004 |
Oleh TARMIZI MOHD JAM
Undi orang Melayu berubah. UMNO hampir tumbang dibanyak kawasan. Protes terhadap Mahathir berterusan. Ezam dan rakan-rakannya mengistiharkan setiap tanggal 14 April mulai tahun ini, adalah Hari Kezaliman Mahathir.
Kerusi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, dilarang dari dipertandingkan. Kecenderungan Mahathir untuk menjadi PM dan Presiden UMNO seumur hidup mula dibahas. Implikasinya, kemarahan rakyat terhadap Mahathir ini, telah mendedahkan UMNO kepada kemerosotan nilai dan pengaruh yang amat sangat. Benar atau tidak, UMNO kini telah memasuki zaman kejatuhannya. Pandangan ini agak meluas dan dominan dibicarakan orang.
Usia UMNO kini sudah menjangkau 54 tahun sejak dilahirkan pada 11 Mei 1946. Tempoh 43 tahun "berkuasa" juga telah banyak mengundang "kebencian" rakyat dalam menghirup pembangunan. Apakah kewujudan UMNO dapat dipertahankan untuk setengah abad lagi?. UMNO sebagai sebuah organisasi tidak dapat mengelak dari mengalami zaman kemerosotan dan kejatuhan. Lambat-laun, masanya akan tiba jua.
Kini, usianya telah menjangkau era menopous iaitu satu era UMNO akan kehilangan daya tahan badan melawan penyakit. Pertambahan ahlinya ke angka 2.4 juta sebenarnya tidak mampu untuk memperkuatkan organisasi, apatah lagi penyertaan generasi baru dikatakan memiliki komitmen yang rendah dalam memperkukuhkan idealisme parti.
Hakikatnya, orang Melayu menyokong UMNO kerana UMNO memaut kuasa. Tanpa kuasa, UMNO dengan mudah dilonggokkan ke tepi. Orang Melayu tidak akan menyokongnya lagi seperti sekarang.
Setelah berusia 53 tahun, UMNO ibarat seorang wanita yang memasuki usia menopous atau "putus haid". Beberapa pemimpin utama UMNO berpendapat, selagi UMNO berkuasa dan selagi kuasa tidak disalahgunakan secara sewenang-wenangnya, sehingga berlaku ketidakadilan yang “menjolok mata” dan seterusnya boleh menyisihkan rakyat yang menyokongnya, maka selagi itulah UMNO akan menjadi satu-satunya parti Melayu yang unggul dan didokong oleh orang-orang Melayu 100 tahun akan datang. Perkhabaran ini benar jika "ketidakadilan yang menjolok mata" itu tidak kelihatan.
Namun begitu, faktor berkenaan sudah dilihat, dibahas dan diadili rakyat. Presiden UMNO sendiri dikatakan sebagai pemegang kuasa yang sudah korup, tidak adil dan bermain kuasa secara “menjolok mata”. Sekalipun, dalam minda dan psyche orang Melayu, terutama di luar bandar terdapat semacam kepercayaan karut, tanpa UMNO orang Melayu hancur; bagi mereka, UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO, namun tanggapan itu sudah banyak berubah. Perubahan kian meledak.
Parti-parti alternatif rasanya mampu membawa perjuangan yang adil dan saksama. Rakyat mula celik melihat adanya alternatif kepada UMNO. Selama ini, mereka menyokong UMNO bukan secara dirancang tetapi terpaksa kerana tidak terdapat pilihan yang viable. Mungkin juga tidak benar, tetapi banyak pihak merasakan hal yang demikian. Pengaruh PAS dilihat terbatas di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Utara Perak.
Begitu juga Semangat 46 yang didalangi rasa geram dengan kebencian terhadap Dr. Mahathir, dianggap alternatif paling "serasi" dengan UMNO, tetapi mengalami nasib lebih teruk dari PAS dalam pilihanraya 1990 dan 1995 hinggalah ianya berkubur.
Gabungan pembangkang musim ini, PAS, KeADILan, DAP dan PRM dikatakan lebih mantap. Rakyat mula menerima ia sebagai parti-parti alternatif yang kuat dan berketrampilan dalam menggantikan BN. Usia UMNO yang telah tua meyakinkan rakyat untuk memilih kerajaan baru yang lebih kuat. Apatah lagi sayap Pemuda dan Wanita UMNO telah lumpuh. Malah tulang belakangnya, Anwar Ibrahim patah di tengah jalan. Semua faktor ini dilihat sebagai kekuatan kepada pembangkang dan kelemahan UMNO yang sukar diperbaiki.
Kejatuhan UMNO Kelantan adalah bukti klasik betapa kehancuran parti itu bukannya disebabkan oleh pembangkang tetapi oleh anasir dari dalam. Ini diakui sendiri oleh Wan Mokhtar dalam mengiyakan kejatuhan kerajaannya di Terengganu. UMNO hari ini pun begitu. Penyingkiran biadap Timbalan Presidennya, Anwar dan diikuti penukaran Ketua Pemudanya, Zahid Hamidi dan pemencilan Ketua Wanita, Zaharah Sulaiman adalah isyarat kejatuhan parti itu. Bukankah perpecahan 1987 juga menjadi faktor keruntuhan UMNO yang menyaksikan pertandingan merebut jawatan Presiden parti oleh Ku Li?.
"UMNO mustahil runtuh dari luar. Parti itu terlalu kuat untuk ditumbangkan. Yang boleh menghancurkan UMNO ialah percakaran sesama sendiri di kalangan elit-elit politiknya atas apa jua alasannya," tegas Rustam A. Sani.
Kalau pada waktu itu terdapat alternatif yang sama viable dengan UMNO, maka masalah utama orang Melayu mencari parti atau kerajaan alternatif dapat diselesaikan. Hari ini rakyat melihat kelas menengah yang menyertai parti itu tidak lebih untuk mengisi "tembolok" mereka dan bukan untuk berkongsi idealisme dalam perjuangan. Golongan petani dan guru-guru sudah mulai terhakis dan kini digantikan oleh korporat dan usahawan. Untuk apa mereka berada dalam UMNO? Kerana UMNO sudah dilihat sebagai "lombong emas" yang boleh memberikan kekayaan kepada mereka dan bukan untuk membalas budi kepada bangsanya.
Sebagai sebuah parti yang pragmatik, "pragmatik" itulah yang menyebabkan UMNO mengalami menopous atau "putus haid" dan memaksa perjuangannya menuju ke arah politik wang, penyalahgunaan kuasa, materialistik dan korupsi. Dapatkah UMNO mempertahankan kuasanya 2004 nanti? Mampukah "Tongkat Ali" atau "Viagra" mengubati penyakit menopous itu? Atau parti itu akan tersingkir dari dokongan rakyat setelah "kezaliman" dilakukan terhadap orang nombor duanya, Anwar?
Mungkinkah juga gabungan pembangkang kali ini viable setanding dengan UMNO dan Barisan Nasional?
|